بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah.. Bersyukur kita kepada Allah Ta'ala yang telah menentukan bahagian-bahagian harta pusaka kepada ahli waris yang berhak. Semoga blog tentang harta pusaka Islam memberikan manfaat kepada kita semua di dunia dan di akhirat kelak...amien... :)

Wednesday, November 3, 2010

Khutbah Jumaat - Faraidh ilmu pembahagian pusaka

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Ta’ala dengan melakukan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala yang ditegah-Nya.

Hadirin sidang jemaah yang dirahmati Allah sekalian,


Umum diketahui bahawa harta memainkan peranan yang penting kepada manusia dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Agama Islam amat mengambil berat tentang persoalan harta dalam kehidupan manusia.

Harta dianggap sebagai suatu amanah yang mesti diuruskan dengan baik dan sempurna berdasarkan peraturan dan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah Ta’ala.
Allah Ta’ala telah mengingatkan kita semua bahawa harta kekayaan yang Allah amanahkan kepada kita adalah perhiasan dunia semata-mata. Maka sewajarnya kita menjadikannya sebagai modal untuk kita tuai hasilnya di akhirat kelak. Dengan harta, seseorang itu boleh mendekat dirinya kepada Allah melalui sedekah dan menolong mereka yang kesusahan.

Namun begitu, harta juga boleh membawa pelbagai bencana kepada seseorang. Terutama apabila berkaitan dengan harta pusaka. Perebutan harta pusaka membawa kepada pergaduhan, mengambil hak orang lain, memakan harta anak yatim, terputus hubungan silaturrahim dan sebagainya.

Sidang jemaah yang dikasihi sekalian,

Setiap yang bernyawa pasti akan mati. Sebagai seorang insan yang beriman, kehidupan di dunia hanyalah sementara dan akhiratlah tempat yang kekal abadi.

Apabila seseorang meninggal dunia, segala harta dan ahli warisnya akan meninggalkannya bersama amalannya di dalam kubur. Harta si mati itu akan berpindah kepada ahli warisnya. Pembahagian harta akan dibuat kepada mereka.

Maka, siapakah yang paling adil untuk membuat pembahagian? Adakah abang sulung yang lebih utama kerana dia paling tua? Ataupun adat setempat yang telah ditetapkan oleh nenek moyang kerana itu adalah tradisi yang patut dikekalkan? Ataupun seorang peguam kerana dialah yang mahir tentang undang-undang?

Sesungguhnya manusia itu, setinggi mana pun ilmunya di dada, tidak dapat menandingi ilmu Allah Ta’ala. Mereka tidak dapat menegakkan keadilan dalam pembahagian pusaka kerana mereka tidak mampu untuk mengetahui keperluan dan tanggungjawab bagi setiap ahli waris. Itulah yang dijelaskan oleh Allah Ta’ala di dalam surah An-Nisa’ ayat ke 11 :
“ ...... lbu bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu. (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan daripada Allah; Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Contohnya, salah satu pembahagian yang disyari’atkan ialah bahagian anak lelaki 2 kali ganda daripada bahagian anak perempuan. Dalilnya diambil daripada ayat ke 11 di dalam surah An-Nisa’ :
4
“ Allah memerintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, Iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan”.

Ketetapan ini bukanlah menunjukkan ketidakadilan daripada Allah. Hanya orang yang buta mata hatinya melihat hukum Allah ini sebagai tidak adil kerana ianya menindas kaum wanita.

Jika kita mendalami hakikatnya yang sebenar, kaum lelaki telah diamanahkan untuk bertanggungjawab terhadap wanita di bawah tanggungannya. Maka harta pusaka yang diperolehi oleh kaum lelaki tidak bermakna mereka memilikinya dengan sepenuhnya.

Malah mereka perlu membelanjakannya untuk menampung kehidupan mereka di bawah tanggungannya termasuklah wanita. Begitu juga dalam perkahwinan, pengantin lelaki yang wajib membayar mahar kepada pengantin perempuan.

Manakala wanita yang mendapat harta pusaka, walaupun kurang sedikit dari lelaki, tetapi mereka memilikinya sepenuhnya dan tidak ada kewajipan bagi mereka untuk memberikannya kepada orang lain walaupun kepada anak mereka sendiri. Malah mereka juga wajib diberikan nafkah daripada kaum lelaki walaupun mereka mempunyai banyak harta.

Para Jemaah yang dihormati sekalian,

Ketahuilah bahawa hukum faraidh merupakan sebahagian daripada hukum-hukum Allah Ta’ala, yang telah diwajibkan kepada umat Islam. Kita wajib memelihara dan melaksanakan hukum ini.

Pembahagian perlu dilaksanakan mengikut hukum yang telah ditetapkan oleh Allah Ta’ala. Setiap ahli waris yang berhak wajib diberikan haknya. Allah Ta’ala berfirman di dalam Surah An-Nisa’ ayat ke-7 ;
Mafhumnya, “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka daripada peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka daripada peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak daripada harta yang ditinggalkan itu; Iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah)”.

Kita dilarang mengambil atau memakan harta yang bukan milik kita kerana perbuatan seumpama ini merupakan satu kezaliman dan dosa yang besar dan dilaknat oleh Allah Ta'ala. Sebagaimana firman Allah Ta'ala di dalam Surah Al-Baqarah ayat 188 yang berbunyi :


Yang bermaksud : Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain dengan jalan yang bathil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain dengan dosa, padahal kamu mengetahui.

Baginda Rasulullah SAW juga mengarahkan harta pusaka diberikan kepada ahli waris. Baginda telah bersabda :
أَلْحِقُوا الفَرائِضَ بِأَهْلِهَا فَمَا بَقِىَ فَهُوَ لأَوْلى رَجُلٍ ذَكَرٍ
Maksudnya, “Berikan bahagian pewarisan yang ditentukan kepada pemiliknya. Adapun sisanya maka bagi pewaris lelaki yang paling dekat nasabnya.”
Para jemaah yang dihormati sekalian,

Apabila seseorang itu meninggal dunia, semua harta miliknya akan menjadi harta pusaka samada besar seperti rumah dan tanah ataupun kecil seperti jam tangan dan cincin. Menjadi kesalahan bagi salah seorang ahli waris mengambil seperti jam tangan dan memakainya kerana dia telah mengambil bahagian ahli waris yang lain. Ini adalah kerana terdapat hak ahli waris yang lain pada jam tangan itu.

Cara untuk mengatasi masalah ini ialah dengan meminta keredhaan ahli waris yang lain atau memberikan wang yang sama nilai dengan bahagian mereka. Dengan itu, maka terlepaslah seseorang itu daripada mengambil hak orang lain.

Begitu juga penama. Harta pusaka itu bukanlah milik mereka sepenuhnya kerana ianya juga milik ahli waris yang lain. Penama hanyalah pemegang amanah untuk memberikan harta pusaka mengikut hukum faraidh kepada ahli waris.

Sidang jemaah yang dimuliakan,

Sesungguhnya Allah Ta’ala memberikan khabar gembira bagi mereka yang melaksanakan hukum faraidh dan menjanjikan balasan yang buruk bagi mereka yang menurut hawa nafsu mereka dalam pembahagian harta pusaka. Firman Allah Ta'ala
“ Segala hukum yang tersebut adalah batas-batas (Syariat) Allah. dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar. Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas SyariatNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekallah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina."

Semoga Allah s.w.t senantiasa memberikan kita pertunjuk dan taufik dalam mencari keredhaan-Nya, dan semoga segala harta dan rezki yang kita miliki, senantiasa bersih dari sumber-sumber yang syubhah dan yang haram untuk digunakan sebagai keperluan kita dan sekeluarga seharian, dan semoga kita dapat memanfaat harta-harta kita dijalan yang diredaan Allah s.w.t.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

2 comments: