بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah.. Bersyukur kita kepada Allah Ta'ala yang telah menentukan bahagian-bahagian harta pusaka kepada ahli waris yang berhak. Semoga blog tentang harta pusaka Islam memberikan manfaat kepada kita semua di dunia dan di akhirat kelak...amien... :)

Faham

Definisi

Ilmu faraidh ialah ilmu tentang pembahagian harta pusaka kepada setiap ahli waris yang berhak dengan kaedah-kaedah pengiraan yang tertentu.
Perkataan faraidh ( ) diambil daripada kalimah bahasa arab. Ia merupakan jama’  kata nama berbilang ) daripada perkataan faridhah . Manakala faridhah diambil daripada kata dasarnya iaitu fardh.
Makna fardh dapat dibahagikan kepada 2 iaitu makna dari segi bahasa dan makna dari segi istilah Syara’:
1. Makna fardh dari segi bahasa ialah takdir. Firman Allah Ta’ala :
“…maka mereka berhak mendapat separuh dari mas kahwin yang telah kamu tetapkan itu…” (Surah Al-Baqarah, ayat 237)
Selain daripada itu, fardh juga mempunyai beberapa makna yang lain. Antara maknanya ialah bahagian, wajib dan halal.

2. Manakala makna fardh dari segi istilah ialah bahagian yang ditentukan oleh Syara’  kepada ahli waris


Sejarah




Sejarah pewarisan harta pusaka dapat dibahagikan kepada 2 zaman iaitu sebelum dan selepas kedatangan Islam.



1. Sebelum kedatangan Islam

Ada 3 faktor yang membolehkan seseorang itu mewarisi harta pusaka ketika zaman Jahiliyah iaitu :-

• Lelaki dewasa (الرِجَال )

Wanita dan kanak-kanak tidak dapat mewarisi harta pusaka kerana mereka merupakan kaum yang lemah. Mereka tidak mampu untuk melindungi suku kaum mereka daripada serangan musuh yang mana ketika itu masyarakat Arab sering kali berperang sesama suku kaum.
Bangsa Arab ketika itu menyatakan, "Adakah patut kami memberikan harta kami (harta warisan) kepada orang yang tidak tahu menunggang kuda dan tidak pandai menetak dengan pedang?”

• Sumpah setia ( الحَلْف)

Ikatan janji antara 2 orang lelaki yang tidak mempunyai hubungan kerabat. Mereka membuat perjanjian dengan cara bersumpah seperti melafazkan ‘darahku darahmu’, ‘kamu mewarisiku dan aku mewarisimu’, ‘kamu menolongku dan aku menolongmu’ dan sebagainya. Apabila kedua-duanya bersetuju maka mereka saling mewarisi antara satu sama lain.

• Anak angkat ( التَبَنِّي)

Golongan lelaki pada ketika itu boleh mengambil anak orang lain sebagai anak angkat mereka. Mereka menasabkan anak itu kepada mereka sendiri bukan kepada bapanya yang sebenar. Perbuatan ini membolehkan mereka dan anak angkat mereka saling mempusakai antara satu sama lain.

Pada permulaan Islam, sistem pengambilan anak angkat masih diteruskan. Hal ini terbukti apabila Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam telah mengambil Zaid bin Haritsah sebagai anak angkatnya dan dinamakannya Zaid bin Muhammad
Amalan tersebut tidak berkekalan apabila Allah Ta’ala menegahnya. Mafhum firman-Nya :

“Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala nabi-nabi. dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” ( Surah Al-Ahzaab, ayat 40 )

2. Selepas kedatangan Islam (ada 4 tahap)

Hukum-hakam agama Islam didatangkan bagi umat manusia dengan cara berperingkat-peringkat bertujuan supaya mereka tidak merasai keberatan untuk melaksanakan perubahan hukum-hukum tersebut.

Hukum pewarisan juga termasuk dalam kategori tersebut apabila terdapat 4 tahap pelaksanaan hukum tersebut dari permulaan Islam sehinggalah Islam menjadi kuat.

a) Tahap pertama

Pada permulaan Islam, pewarisan dilaksanakan dengan cara sumpah setia antara 2 sahabat. Mereka bersumpah akan saling tolong menolong antara satu sama lain ketika mereka hidup dan saling mewarisi apabila salah seorang daripada mereka meninggal dunia. Mafhum firman Allah Ta’ala :

“…dan mana-mana orang yang kamu telah membuat ikatan setia dengan mereka (untuk bantu-membantu dalam masa kecemasan dan kesusahan) maka berikanlah kepada mereka bahagiannya. Sesungguhnya Allah sentiasa menyaksikan tiap-tiap sesuatu.” (Surah An-Nisaa’ ayat 33)

Kemudian hukum tersebut dihapuskan dengan ayat :

“... Dalam pada itu, orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak atas setengahnya yang (lain) menurut (hukum) Kitab Allah; Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah Al-Anfaal, ayat 75)

b) Tahap ke - 2

Setelah Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, hukum pewarisan dilaksanakan melalui persaudaraan antara 2 sahabat daripada kaum Ansar dan Muhajirin. Manakala jika mereka yang tidak berhijrah, mereka tidak mempunyai hak perwarisan walaupun mereka terdiri daripada waris yang hampir dan beriman. Allah Ta’ala berfirman, mafhumnya :

“ Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain. dan orang-orang yang beriman yang belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikitpun untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah…” (Surah Al-Anfaal, ayat 72)

Kemudian hukum tersebut dinasakhkan juga dengan ayat :

“...Dalam pada itu, orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak atas setengahnya yang (lain) menurut (hukum) Kitab Allah; Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah Al-Anfaal, ayat 75)

c) Tahap ke - 3

Kemudian hukum pada fasa kedua dihentikan dan digantikan dengan wasiat wajibah bagi kedua ibu bapa dan kaum kerabat. Mafhum firman Allah Ta’ala :

“Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa.” (Surah Al-Baqarah, ayat 180)

d) Tahap ke - 4

Apabila turunnya ayat faraidh, hukum di atas dihapuskan. Sistem pusaka Islam menggantikannya dengan menentukan bahagian-bahagian ahli waris secara terperinci.
Tidak siapa pun dibenarkan mengubah ketentuan tersebut kerana ia merupakan hukum daripada Allah Ta’ala.


Sahabat yang mahir ilmu faraidh







Sahabat Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wassalam yang paling bijak dalam ilmu faraidh ialah Zaid bin Tsabit. Ini terbukti dengan jelas apabila Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam sendiri yang memujinya kerana dia terlebih tepat dan cepat memberi jawapan berbanding dengan para sahabat yang lain.

عن أبى قِلابَةَ عن أَنَس قال : قَالَ رَسولُ اللهِ صلَّى اللهِ عليهِ و سَلََّم ( أَفْرَضُكُمْ زَيْدُ بنُ ثَابِت ) أخرجه أحمد

Daripada Abi Qilabah daripada Anas “Yang terlebih pandai ilmu faraidh daripada kamu ialah Zaid bin Tsabit.” (Riwayat Imam Ahmad)


Hukum Faraidh

Terdapat 2 pembahagian hukum yang berkaitan dengan faraidh iaitu : -

1. Hukum pelaksanaan faraidh.

Wajib bagi setiap ahli waris mengaplikasikan hukum faraidh jika ada pewaris yang meninggal dunia.

Apabila ahli waris menjalankan hukum faraidh maka sesungguhnya mereka dijanjikan syurga oleh Allah Ta’ala.

Manakala bagi mereka yang tidak mahu mengikut hukum Allah Ta’ala dan menentukan pembahagian mengikut akal dan hawa nafsu mereka maka nerakalah tempat mereka di akhirat kelak. Itulah balasan Allah Ta’ala bagi mereka yang ingkar dengan mafhum firman-Nya:-

“Segala hukum yang tersebut (anak yatim, faraidh dan wasiat) adalah batas-batas (Syariat) Allah. dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar. Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas Syariat-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekallah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina.” (Surah An-Nisaa’, ayat 13 dan 14)

2. Hukum mempelajari ilmu faraidh dan membuat pembahagian kepada ahli waris.

Fardhu kifayah bagi umat Islam. Tidak wajib bagi seluruh umat Islam mempelajarinya. Apabila telah ada seseorang yang menunaikannya maka hukumnya bertukar menjadi sunat bagi yang lain.

Sumber Hukum

1. Al-Quran

Hampir kesemua hukum-hukum pembahagian faraidh terangkum di dalam surah An-Nisaa’. Mafhum firman Allah Ta’ala :

" Allah mensyariatkan (mewajibkan) bagimu tentang (pembagian warisan untuk) anak-anakmu. (Iaitu), bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan. Dan jika anak itu semuanya perempuan yang jumlahnya lebih dari dua, maka bagi mereka dua pertiga dari harta yang ditinggalkan. Jika dia (anak perempuan) itu seorang saja, maka dia memperoleh setengah (dari harta yang ditinggalkannya). Dan untuk dua orang ibu bapa, bahagian masing-masingnya seperenam dari harta yang ditinggalkan, jika dia (yang meninggal) mempunyai anak. Jika dia (yang meninggal) tidak mempunyai anak dan dia diwarisi oleh ibu bapanya (saja), maka ibunya mendapat sepertiga. Jika dia (yang meninggal) mempunyai beberapa saudara, maka ibunya mendapat seperenam. (Pembahagian-pembahagian tersebut di atas) setelah (dipenuhi) wasiat yang dibuatnya atau (dan setelah dibayar) hutangnya. (Tentang) orang tuamu dan anak-anakmu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih banyak manfaatnya bagimu. Ini adalah ketetapan dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana." (Surah an-Nisaa' – ayat 11)

"Dan bagimu (suami-suami) seperdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isterimu, jika mereka tidak mempunyai anak. Jika mereka (isteri-isterimu) itu mempunyai anak, maka kamu mendapat seperempat dari harta yang ditinggalkannya setelah (dipenuhi) wasiat yang mereka buat atau (dan setelah dibayar) hutangnya. Para isteri memperoleh seperempat harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak. Jika kamu mempunyai anak, maka para isteri memperoleh seperlapan dari harta yang kamu tinggalkan setelah (dipenuhi) wasiat yang kamu buat atau (dan setelah dibayar) hutang-hutangmu. Jika seseorang mati, baik lelaki mahu pun perempuan, yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak, tetapi mempunyai seorang saudara lelaki (seibu) atau seorang saudara perempuan (seibu), maka bagi masing-masing daripada kedua jenis saudara itu seperenam harta. Tetapi jika saudara-saudara seibu itu lebih dari seorang, maka mereka bersama-sama dalam bahagian yang sepertiga itu, setelah (dipenuhi wasiat) yang dibuat olehnya atau (dan setelah dibayar) hutangnya dengan tidak menyusahkan (kepada ahli waris). Demikianlah ketentuan Allah. Dan Allah Maha Mengetahui, Maha Penyantun." (Surah an-Nisaa' – ayat 12)

"Mereka meminta fatwa kepadamu (tentang kalalah). Katakanlah, Allah memberi fatwa kepadamu tentang kalalah (iaitu): jika seorang meninggal dunia, dan ia tidak mempunyai anak dan mempunyai saudara perempuan, maka bagi saudaranya yang perempuan itu seperdua dari harta yang ditinggalkannya, dan saudaranya yang lelaki mewarisi (seluruh harta saudara perempuan), jika dia tidak mempunyai anak. Tetapi jika saudara perempuan itu dua orang, maka bagi keduanya dua pertiga dari harta yang ditinggalkan. Dan jika mereka (ahli waris itu terdiri dari) saudara laki-laki dan perempuan, maka bahagian seorang saudara lelaki sebanyak bahagian dua orang saudara perempuan. Allah menerangkan (hukum ini) kepadamu, supaya kamu tidak sesat. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." (Surah an-Nisaa' – ayat 176)

2. Hadits

Antara hadis-hadis Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassallam yang berkaitan dengan hukum faraidh ialah : -

عَن ابنِ عبّاس قال : قالَ رسولُ اللهِ صَلَّى الله عليهِ و سَلم : (أَلْحِقُوا الفَرائِضَ بِأَهْلِهَا فَمَا بَقِىَ فَهُوَ لأَوْلى رَجُلٍ ذَكَرٍ ) متفق عليه.

Daripada Ibnu ‘Abbas berkata : Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassallam “ Berikan bahagian warisan yang ditentukan kepada pemiliknya. Adapun sisanya maka bagi pewaris lelaki yang paling dekat nasabnya.”

عَن ابن مَسْعُود فى بِنْتٍ وَ بِنْتِ ابْنٍ وَ أُخْتٍ ( فَقَضَى النَّبِى صلى الله عليه و سلّم لِلابْنةِ النِصْفُ ، وَ لابْنَةِ الابْنِ السُدُسُ تَكْمِلَةَ الثُلُثَيْنِ وَ مَا بَقِىَ فَلِلأُخْتِ ) رواه البخارى

Daripada Ibnu Mas’ud pada menyatakan hukum anak perempuan, cucu perempuan daripada anak lelaki dan saudara perempuan (seibu sebapa atau sebapa) “ Maka telah menghukumkan Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassallam bagi anak perempuan 1/2 dan bagi cucu perempuan daripada anak lelaki 1/6 mencukupkan 2/3 dan bakinya bagi saudara perempuan” (Hadis riwayat Imam Bukhari)

عَن أُسَامَةِ بن زَيْد أَنَّ النَّبِىَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ و سَلَّمَ قَالَ (لا يَرِثُ المُسْلِمُ الكَافِرَ وَ لا يَرِثُ الكَافِرُ المُسْلِمَ ) متفق عليه.

Daripada Usamah bin Zaid sesungguhnya Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassallam bersabda : ” Orang Islam tidak mewarisi orang kafir dan orang kafir tidak mewarisi orang Islam.”

عَن ابن بُرَيْدَةٍ عَن ابِيهِ : ( أَنَّ النبىَ صلى الله عليه و سلّم جَعَلَ لِلْجَدَّةِ السُّدُسَ ، إِذَا لَمْ يَكُنْ دُونَهَا أُمّ ) رواه أبو داود و النسائى.

Daripada Ibnu Buraidah daripada ayahnya : “Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassallam memberikan kepada nenek 1/6 apabila (si mati) tidak mempunyai ibu.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Nasaie)

3. Pandangan sahabat

Perkara ini berlaku apabila tiada keterangan dalam Al-Quran dan Hadits berkaitan sesetengah masalah pengiraan seperti :-

a) Masalah Al-Gharrawain ( الغرويتين )
b) Masalah Al-Akdariah ( الأكدرية )
c) Masalah Al-Musytarakah ( المشتركة )
d) Masalah Datuk bersama Saudara ( الجد مع الإخوة )

KEPENTINGAN MEMPELAJARI ILMU FARAIDH

1. Saranan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassallam supaya mempelajarinya

قَالَ رَسولُ اللهِ صلى الله عليه و سلّم ( تَعَلَّمُوا القُرْآنَ وَ عَلِّمُوهُ النَّاسَ و تَعَلَّمُوا الفَرَائِضَ وَ عَلِّمُوهَا فَإِنِّي امْرَؤٌ مَقْبُوضٌ وَ العِلْمُ مَرْفُوعٌ وَ يُوشِكُ أَنْ يَخْتَلِفَ اثْنَانِ في الفَرِيضَةِ وَ المَسْأَلَةِ فَلا يَجِدَانِ أَحَدًا يُخْبِرُهُمَا ) رواه أحمد بن حنبل

Nabi Sallallahu 'Alaihi Wassallam bersabda, "Pelajarilah Al-Quran dan ajarkanlah kepada manusia dan pelajarilah ilmu faraidh serta ajarkanlah, sesungguhnya aku manusia biasa yang akan meninggal dunia juga, dan ilmu akan hilang (dengan matinya yang mempunyai ilmu tersebut), sesungguhnya aku sangat resah dan takut jika nantinya ada orang yang bertengkar tentang pembahagian warisan dan permasalahan lainnya, akan tetapi mereka tidak menemukan seorang pun yang sanggup meleraikan dan menyelesaikan masalah mereka." (Hadis riwayat Imam Ahmad)

2. Ilmu yang mula-mula akan hilang dalam ingatan manusia

عَن أبي هريرة قال : قَالَ رَسولُ اللهِ صلى الله عليه و سلّم قَالَ ( تَعَلَّمُوا الفَرَائِضَ وَ عَلِّمُوهَا فإِنَّهَا نِصْفُ العِلْمِ وَ هُوَ يُنْسَى وَ هُوَ أَوَّلُ شَىْءٍ يُنْزَعُ مِنْ أُمَّتِي ) رواه ابن ماجه و دارالقطني

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassallam bersabda, "Pelajarilah ilmu faraidh serta ajarkanlah, sesungguhnya ia adalah setengah daripada ilmu dan ia akan dilupakan dan sesungguhnya ia adalah ilmu yang pertama yang akan dicabut dari umatku." (Hadis riwayat Ibnu Majah dan ad-Darquthni)

3. Saranan daripada sahabat

Umar bin Khattab telah berkata, "Pelajarilah ilmu faraidh, kerana ia sesungguhnya termasuk bahagian dari agama kalian." Kemudian Amirul Mu'minin berkata lagi, "Jika kalian berbicara, bicaralah dengan ilmu faraidh, dan jika kalian bermain-main, bermain-mainlah dengan satu lemparan." Kemudian Amirul Mu'minin berkata kembali, "Pelajarilah ilmu faraidh, ilmu nahu, dan ilmu hadis sebagaimana kalian mempelajari Al-Qur’an."

4. Kesungguhan ulama’

Disebabkan ilmu faraidh amat penting, para ulama’ banyak menghabiskan masa mereka dalam mempelajarinya dan mengajarinya.

Malah ada juga yang mencipta kaedah-kaedah baru yang mudah untuk mempelajari seperti kaedah jadual segitiga oleh Syeikh Nabil Kamaluddin, kaedah syair Arjuzah dan Ar-Rahabiyah, kaedah Syajaratul Mirats oleh Ustaz Imam Malik Nasirin dan sebagainya.

Pada zaman moden kini, pelbagai perisian program pengiraan faraidh dibuat dengan kerjasama ‘ulama faraidh dan pakar perisian komputer. Ini bertujuan mempercepatkan pengiraan bagi menentukan bahagian ahli waris.


Harta Peninggalan (At-Tirkah)


Apabila seseorang meninggal dunia, kebiasaannya dia akan meninggalkan harta. Dalam Islam, sebelum pengurusan harta pusaka si mati dibuat, perlu dipastikan bahawa harta tersebut merupakan harta peninggalan si mati yang menepati Syari'at Islam.
Oleh itu, harta tersebut tidak dinamakan harta peninggalan melainkan ianya :-

1. sesuatu yang mempunyai nilai kebendaan seperti tanah dan rumah. Sesuatu yang tidak mempunyai nilai kebendaan tidak dikirakan sebagai harta peninggalan seperti ilmu.

2. merupakan milik yang sempurna bagi si mati walaupun ia bersangkutan dengan orang lain seperti seseorang berhutang dengannya. Harta yang bukan milik sempurna seperti perkongsian syarikat dan perkongsian milik tidak boleh digunakan dalam pengurusan harta pusaka. Begitu juga harta benda orang lain yang dipinjam atau disimpan oleh si mati tidak menjadi milik baginya.

3. merupakan harta yang halal bukannya haram seperti harta riba atau harta rompakan bank. Adapun harta yang haram, ia tidak boleh diberikan kepada ahli waris. Harta tersebut hendaklah digunakan bagi perkara-perkara yang menjadi keperluan oleh orang ramai seperti jalan raya dan tandas awam.

Peringatan ! Semua harta milik pewaris diambil dikira walaupun ianya tidak mempunyai nilai yang besar pada pandangan biasa seperti sebatang pen, kopiah, selipar dan lain-lain. Adalah haram mengambilnya walaupun daripada ahli waris sendiri melainkan dengan izin oleh seluruh ahli waris yang boleh menguruskan hartanya sendiri dan berhak terhadap harta pusaka si mati.

Harta pusaka dapat dikategorikan dalam beberapa bentuk, antaranya:

• Harta yang bersifat tetap seperti tanah, rumah, kebun dan lain-lain.
• Harta yang bersifat mudah alih seperti wang tunai, wang simpanan, takaful, KWSP, kereta, pakaian dan sebagainya.
• Harta yang masih berjalan seperti peniagaan dan saham.
• Harta yang digadaikan oleh pewaris dan masih boleh ditebus
• Hutang orang lain kepada si mati.
• Harta-harta yang lain yang mempunyai nilai kebendaan.

Perkara yang wajib dilaksanakan sebelum pembahagian

Harta peninggalan seseorang yang telah meninggal dunia tidak boleh diberikan terus kepada ahli waris melainkan setelah dilaksanakan 3 perkara iaitu menguruskan jenazah, membayar hutang dan menunaikan wasiat.

Perkara-perkara tersebut wajib ditunaikan dengan menggunakan harta si mati mengikut turutan (tertib).

1. Menguruskan jenazah

Apabila seseorang muslim meninggal dunia, perkara yang pertama sekali yang perlu dilaksanakan dengan segera ialah menguruskan jenazahnya. Kos pengurusan jenazah iaitu bermula daripada memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan hingga menguburkannya, semuanya itu dibayar dengan harta si mati.

Perbelanjaan mengkafankan mayat bermaksud kos membeli kain kafan dan perkakas yang berkaitan dengannya seperti kapur, kayu gaharu, kapas dan sebagainya.Sementara bagi upah memandikan, mengusungkan dan menggali kubur diberikan kepada mereka yang mahu diberikan upah. Adapun mereka yang tidak mahu menerima upah maka tidak boleh diberikan kepada mereka hadiah atau sedekah dengan menggunakan harta si mati.

Kos pengurusan jenazah berbeza mengikut keadaan si mati ketika hidup dan juga tempat tinggalnya seumpama perbelanjaan di bandar lebih tinggi daripada perbelanjaan di kampung.

Perbelanjaan tersebut perlu dikawal supaya tidak berlaku pembaziran.

Perhatian ! Urusan kenduri arwah, hadiah kepada pembaca Al-Quran dan tahlil dan sebagainya tidak termasuk dalam kos pengurusan jenazah. Tidak boleh menggunakan harta si mati bagi tujuan tersebut.

2. Melangsaikan segala hutang si mati

Baki harta setelah dibayar kos pengurusan jenazah digunakan untuk melunaskan hutang si mati jika dia mempunyai hutang. Mafhum firman Allah Ta’ala :

“ (pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.” (Surah An-Nisaa’ ayat 11)

Hutang terbahagi kepada 2 bahagian iaitu hutang dengan Allah dan hutang dengan manusia. Kedua-duanya wajib dibayar dengan harta si mati.

Hutang dengan Allah adalah seperti ketika si mati masih hidup, dia tidak membayar zakat, kifarat, nazar atau tidak menunaikan haji ketika dia mampu.

Manakala hutang dengan manusia seumpama pinjaman bank, gadaian dan sebagainya.


3. Menunaikan wasiat

Wajib bagi kita menunaikan wasiat si mati apabila dia meninggalkan wasiat. Ahli waris tidak berhak untuk menghalang daripada menunaikannya.
Wasiat si mati boleh dilaksanakan dengan beberapa syarat iaitu :-

a) Tidak diwasiatkan harta kepada ahli waris. Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassallam :

عن أبى أُمامةَ قال سمعت النبى صلى الله عليه وآله و سلم يقول ( إِنَّ اللهَ قَدْ أَعْطَى كُلَّ ذِى حَقٍّ حَقَّهُ فَلا وَصِيَّةَ لِوارِثٍ)

Daripada Abi Umamah berkata, “Aku telah mendengar Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wassallam bersabda, Sesungguhnya Allah Ta’ala telah memberikan kepada orang yang berhak haknya, ketahuilah tiada wasiat kepada ahli waris” (Hadits Riwayat Abu Daud)
Jika seseorang mewasiatkan kepada ahli warisnya, wasiat tersebut boleh ditunaikan dengan syarat perlu mendapat keizinan daripada ahli waris yang lain.

b) Tidak melebihi 1/3

Wasiat si mati mesti ditunaikan dengan syarat nilai yang keluarkan itu tidak melebihi 1/3 daripada harta bersih si mati iaitu setelah ditolak dengan kos pengurusan jenazah dan melunaskan hutangnya.
Ingat, bukan yang dimaksudkan dengan 1/3 daripada harta si mati yang asal. Jika wasiat si mati lebih daripada 1/3, maka yang diberikan hanya 1/3 daripada harta.

و عن سَعْد بن أبى وَقَّاص قال ( قُلْتُ يا رَسولُ اللهِ أَنَا ذُو مَالٍ وَ لا يَرِثنُِى إلا ابْنَةٌ لِى واحِدَةٌ. أَفَأَتَصَدَّقَ بِثُلُثَيْ مَالِى؟ قَالَ لا. قُلْتُ أَفَأَتَصَدَّقَ بِشَطْرِهِ؟ قَالَ لا. قُلْتُ أَفَأَتَصَدَّقَ بِثُلُثِهِ؟ قَالَ الثُّلُثُ وَ الثُّلُثُ كَثِيْرٌ. إِنَّكَ إِنْ تَذَرْ وَرَثَتَكَ أَغْنِيَاءَ خَيْرٌ مِنْ أَنْ تَذَرَهُمْ عَالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاس) متفق عليه

Daripada Sa’ad bin Waqqas berkata “Aku berkata: Wahai Rasulullah, aku mempunyai harta dan tiada yang mewarisiku melainkan seorang anak perempuanku. Adakah boleh aku menyedekahkan 2/3 daripada hartaku. Baginda menjawab : Tidak. Aku berkata : Adakah boleh aku menyedekahkan 1/2 daripadanya. Baginda menjawab : Tidak. Aku berkata : Adakah aku boleh menyedekahkan 1/3 daripadanya. Baginda menjawab :1/3, 1/3 adalah banyak. Sesungguhnya jika kamu meninggalkan ahli warismu yang kaya lebih baik daripada meninggalkan mereka dalam keadaan fakir yang meminta-minta kepada manusia.”
Jika si mati telah mewasiatkan hartanya melebihi 1/3 maka wasiat tersebut tidak boleh ditunaikan melainkan setelah mendapat keizinan daripada ahli waris yang lain.

c) Tidak mewasiatkan kepada suatu yang haram seperti membina kasino dan kilang arak. Wasiatnya akan terbatal jika dia mewasiatkan kepada perkara tersebut.

SEBAB-SEBAB MENDAPAT WARISAN

1. Perkahwinan ( النِكَاح )

Perkahwinan yang dimaksudkan di sini ialah pernikahan yang sah antara suami dan isteri berlandaskan rukun-rukun dan syarat-syarat perkahwinan yang telah disyari’atkan

Termasuk juga dalam kategori ini ialah isteri yang diceraikan dengan talak raj’ie (talak yang boleh dirujuk kembali). Dalam keadaan ini, suami dan isteri saling waris mewarisi seperti mana kewajipan suami memberi nafkah kepada isterinya.

Adapun talak baa`in yang tidak boleh dirujuk kembali, bekas suami dan bekas isteri tidak boleh mempusakai antara satu sama lain.

2. Keturunan (النَسَاب)

Hubungan nasab ialah ahli keluarga yang mempunyai ikatan pertalian darah seperti ayah, anak, saudara seibu sebapa dan lain-lain (akan diterangkan dalam tajuk Ahli-ahli Waris yang Berhak).

Manakala mereka yang tidak mempunyai hubungan nasab seumpama ayah angkat, anak angkat dan sebagainya tidak boleh mewarisi antara satu sama lain.

3. Pembebasan hamba ( الوَلَاء )

Iaitu tuan yang membebaskan hamba akan mendapat harta pusaka jika hamba yang merdeka itu tidak mempunyai ahli waris.


RUKUN-RUKUN FARAIDH

1. Pewaris yang meninggal dunia. المُوَرِّث

2. Waris yang mempunyai hubungan kerabat dengan pewaris samada hubungan nasab, pernikahan ataupun penghambaan. الوَارِث

3. Harta atau hak milik yang ditinggalkan oleh pewaris. المَوْرُوث


SYARAT-SYARAT FARAIDH

1. Pewaris meninggal dunia.

Kematian seseorang dikira samada kematian yang jelas (hakiki) ataupun secara ditentukan oleh hukum (hukmi). Kematian yang jelas ialah kematian yang disaksikan oleh keluarga si mati atau penyaksian oleh 2 orang lelaki yang adil. Manakala kematian secara hukmi ialah kematian seseorang ditentukan oleh Mahkamah Syariah seperti orang yang hilang di dalam hutan, peperangan dan sebagainya.

2. Hidupnya waris semasa pewaris meninggal dunia secara nyata atau pun secara takdir seperti janin di dalam kandungan ibunya.

3. Tiada perkara yang menegah daripada mendapat warisan seperti membunuh, murtad dan hamba.

Perkara yang menegah daripada menerima harta pusaka

1. Membunuh

عَنْ عُمَرقال : سَمِعْتُ النَّبِى صلى الله عليه و سلم يَقُولُ ( لَيْسَ لِقَاتِلٍ مِيرَاثٌ )

Daripada Umar, aku mendengar Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassallam bersabda " Seorang pembunuh tidak berhak memperolehi harta pusaka." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Dalam mazhab Syafie, membunuh dengan tidak sengaja juga tidak boleh mewarisi harta pusaka. Sebagai contoh, seorang lelaki membawa ibunya menaiki kereta. Akibat kecuaiannya maka berlaku kemalangan yang mengakibatkan ibunya terbunuh. Keadaan tersebut menyebabkan lelaki itu tertegah daripada mendapat harta pusaka ibunya.

2. Berlainan agama atau murtad

عَنْ أُسَامَة بن زَيْد أَنَّ النَّبىَ صلى الله عليه و سلم قَالَ (لا يَرِثُ المُسْلِمُ الكَافِرَ وَ لا يَرِثُ الكَافِرُ المُسْلِمَ ) متفق عليه.

Daripada Usamah bin Zaid sesungguhnya Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassallam bersabda : " Orang Islam tidak mewarisi orang kafir dan orang kafir tidak mewarisi orang Islam.”

Masa keislaman dan kekufuran ahli waris diukur apabila pewaris meninggal dunia.
Contohnya semasa abang Dollah hidup, Dolah masih beragama Islam. Setelah abangnya meninggal dunia, Dollah murtad (na’uzubillah). Walaupun dia murtad, namun Dollah tetap memperolehi harta pusaka abangnya.

Berbeza pula keadaan Pak Mat. Semasa anaknya masih hidup, Pak Mat telah murtad sehinggalah anaknya meninggal dunia. Pada ketika itu Pak Mat berasa insaf lalu bertaubat kembali semula kepada Agama Islam. Dalam hal ini, Pak Mat tidak akan memperolehi harta warisan anaknya.

3. Hamba sahaya

عَنْ ابنِ عُمَر أَنَّ النَّبيَ صلى الله عليه و سلم قَالَ : ) وَ مَنْ بَاعَ عَبْدًا فَمَالُهُ لِلَّذِي بَاعَهُ إِلا أَنْ يَشْتَرِطَ المُبتاع

Daripada Ibn Umar bahawasanya Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassallam bersabda : " Siapa yang menjual seorang hamba sedangkan dia (hamba) memiliki harta, maka hartanya tersebut menjadi milik pembelinya, kecuali bila hamba tersebut mensyaratkannya (iaitu membuat perjanjian dahulu dengan pembelinya supaya hartanya tidak menjadi milik tuannya yang baru tersebut).” (Hadis riwayat Ibnu Majah).

AHLI-AHLI WARIS YANG BERHAK
( أصحاب الإرث )

Terdapat 23 orang daripada ahli keluarga si mati yang berhak mendapat harta pusaka :

1. Penikahan, النكاح
a. Suami, الزوج(Su) atau isteri, الزوجة (Is)
2. Nasab, النساب
a. Golongan Orang Tua, الأصل الوارث
1. Bapa, الأب (Bp)
2. Ibu, الأم (Ib)
3. Datuk sebelah bapa sehingga ke atas, الجد من الأب (Dk)
4. Nenek sebelah bapa, الجدة من الأب (Nb)
5. Nenek sebelah ibu sehingga ke atas, الجدة من الأم (Ni)

b. Golongan Anak Beranak, الفرع الوارث
1. Anak lelaki, الابن(Al)
2. Anak perempuan, البنت(Ap)
3. Cucu lelaki daripada anak lelaki sehingga ke bawah, ابن الابن (Clal)
4. Cucu perempuan daripada anak lelaki, الابن بنت (Cpal)
c. Golongan Adik Beradik, الحواشي
1. Saudara lelaki seibu sebapa, الأخ الشقيق(Slib)
2. Saudara perempuan seibu sebapa, الأخت الشقيقة (Spib)
3. Saudara lelaki sebapa, الأخ لأب (Slb)
4. Saudara perempuan sebapa, الأخت لأب (Spb)
5. Saudara lelaki seibu, الأخ لأم(Sli)
6. Saudara perempuan seibu, لأم الأخت (Spi)
7. Anak lelaki daripada saudara lelaki seibu sebapa sehingga ke bawah, ابن الأخ الشقيق  (Alslib)
8. Anak lelaki daripada saudara lelaki sebapa sehingga ke bawah, ابن الأخ لأب (Alslb)

d. Golongan Pakcik, الأعمام
1. Bapa saudara seibu sebapa sebelah bapa, العم الشقيق (Bsib)
2. Bapa saudara sebapa sebelah bapa,العم لأب (Bsb)
3. Anak lelaki bapa saudara seibu sebapa sebelah bapa, ابن العم الشقيق (Albsib)
4. Anak lelaki bapa saudara sebapa sebelah bapa, ابن العم لأب (Albsb)

* Dalam kurungan "( )" merupakan ringkasan untuk diletakkan ke dalam jadual pengiraan.

3. Tuan yang membebaskan hamba, الولاء

Bahagian yang ditentukan

Bahagian yang ditentukan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran dan Sunnah ada 6 bahagian iaitu 1/2, 1/4, 1/8, 2/3, 1/3 dan 1/6

TIP untuk menghafalnya dengan hanya mengingati 2 bahagian sahaja iaitu 1/2 dan 2/3. kemudian dibahagikan dengan 2 bagi tiap-tiap bahagian menjadikan 1/4 dan 1/3. Seterusnya dibahagikan lagi kepada 2 menjadikan 1/8 dan 1/6.

Ahlinyaأصحاب الفروض

1. Suami akan memperolehi :-

a. 1/2 jika si mati tidak mempunyai anak perempuan, anak lelaki, cucu perempuan daripada anak lelaki atau cucu lelaki daripada anak lelaki hingga ke bawah (Golongan Anak Beranak)

b. 1/4 jika si mati mempunyai anak perempuan, anak lelaki, cucu perempuan daripada anak lelaki atau cucu lelaki daripada anak lelaki hingga ke bawah (Golongan Anak Beranak)
“Dan bagi kamu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak. tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu beroleh satu perempat dari harta yang mereka tinggalkan,” (Surah An-Nisaa’ ayat 12)

2. Isteri (seorang atau lebih) akan mendapat :-

a. 1/4 jika si mati tidak mempunyai anak perempuan, anak lelaki, cucu perempuan daripada anak lelaki atau cucu lelaki daripada anak lelaki hingga ke bawah (Golongan Anak Beranak)

b. 1/8 jika si mati mempunyai anak perempuan, anak lelaki, cucu perempuan daripada anak lelaki atau cucu lelaki daripada anak lelaki hingga ke bawah (Golongan Anak Beranak)

“Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula satu perempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan,” (Surah An-Nisaa’ ayat 12)

PERHATIAN! Jika isteri lebih daripada seorang, maka bahagian mereka akan dibahagikan sama rata sesama mereka.

3. Bapa akan mendapat :-

a. 1/6 jika si mati mempunyai anak lelaki atau cucu lelaki daripada anak lelaki hingga ke bawah.

b. 1/6 + baki jika si mati tidak mempunyai anak lelaki dan cucu lelaki daripada anak lelaki hingga ke bawah dan mempunyai anak perempuan atau cucu perempuan daripada anak lelaki.

“Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga.” (Surah An-Nisaa’ ayat 11)

c. Baki jika si mati tidak mempunyai anak perempuan, anak lelaki, cucu perempuan daripada anak lelaki atau cucu lelaki daripada anak lelaki hingga ke bawah (Si mati tidak mempunyai Golongan Anak Beranak).

عَن ابنِ عبّاس قال : قالَ رسولُ اللهِ صَلَّى الله عليهِ و سَلم : ( أَلْحِقُوا الفَرائِضَ بِأَهْلِهَا فَمَا بَقِىَ فَهُوَ لأَوْلى رَجُلٍ ذَكَرٍ ) متفق عليه.

Daripada Ibnu ‘Abbas berkata : Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasassallam “ Berikan bahagian warisan yang ditentukan kepada pemiliknya. Adapun sisanya maka bagi pewaris lelaki yang paling dekat nasabnya.”

4. Ibu akan memperolehi :-

a. 1/6 jika si mati mempunyai Golongan Anak Beranak atau ada 2 orang atau lebih daripada Golongan Adik Beradik kecuali anak lelaki mereka. (Bilangan anak lelaki mereka tidak dikira dalam masalah ini)

“Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga.” (Surah An-Nisaa’ ayat 11)

“Jika dia (yang meninggal) mempunyai beberapa saudara, maka ibunya mendapat seperenam.” (Surah An-Nisaa’ ayat 11)

b. 1/3 jika si mati tidak mempunyai Golongan Anak Beranak atau tidak ada 2 orang atau lebih daripada Golongan Adik Beradik kecuali anak lelaki mereka.

“Jika dia (yang meninggal) tidak mempunyai anak dan dia diwarisi oleh ibu bapanya (sahaja), maka ibunya mendapat sepertiga.” (Surah An-Nisaa’ ayat 11)
INGAT! Bahagian ibu juga akan dipengaruhi walaupun 2 orang atau lebih daripada Golongan Adik Beradik dihalang oleh bapa.

c. 1/3 daripada baki jika si mati hanya mempunyai ibu, ayah dan suami atau isteri (masalah gharrawiyatain).


5. Datuk sebelah bapa akan mendapat :-

a. 1/6 jika si mati mempunyai anak lelaki atau cucu lelaki daripada anak lelaki hingga ke bawah.

b. 1/6 + baki jika si mati tidak mempunyai anak lelaki dan cucu lelaki daripada anak lelaki hingga ke bawah dan mempunyai anak perempuan atau cucu perempuan daripada anak lelaki.

c. Baki jika si mati tidak mempunyai anak perempuan , anak lelaki, cucu perempuan daripada anak lelaki atau cucu lelaki daripada anak lelaki hingga ke bawah (Si mati tidak mempunyai Golongan Anak Beranak).

PERHATIAN! Jika si mati mempunyai saudara lelaki atau saudara perempuan seibu sebapa atau sebapa, maka bahagian datuk akan dibahaskan dalam tajuk Datuk Bersama Saudara

6. Nenek sebelah bapa akan memperolehi :-

a. 1/6 jika si mati tidak mempunyai bapa atau ibu.

عَن ابن بُرَيْدَةٍ عَن ابِيهِ : ( أَنَّ النبىَ صلى الله عليه و سلّم جَعَلَ لِلْجَدَّةِ السُّدُسَ ، إِذَا لَمْ يَكُنْ دُونَهَا أُمّ ) رواه أبو داود و النسائى.

Daripada Ibnu Buraidah daripada ayahnya : “Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassallam memberikan kepada nenek 1/6 apabila (si mati) tidak mempunyai ibu.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Nasaie)

7. Nenek sebelah ibu akan mendapat :-

a. 1/6 jika si mati tidak mempunyai ibu.

INGAT! Jika terdapat kedua-dua nenek sebelah bapa dan ibu, maka mereka berkongsi bahagian 1/6 iaitu 1/12 bagi nenek sebelah bapa dan 1/12 bagi nenek sebelah ibu.

8. Anak perempuan akan memperolehi :-

a. 1/2 jika dia berseorangan dan si mati tidak mempunyai anak lelaki.

“Jika dia (anak perempuan) itu seorang saja, maka dia memperoleh setengah (dari harta yang ditinggalkannya).” (Surah An-Nisaa’ ayat 11)

b. 2/3 jika bilangan mereka 2 orang atau lebih dan si mati tidak mempunyai anak lelaki.

“Dan jika anak itu semuanya perempuan yang jumlahnya lebih dari dua, maka bagi mereka dua pertiga dari harta yang ditinggalkan.” (Surah An-Nisaa’ ayat 11)

9. Cucu perempuan akan memperolehi :-

a. 1/2 jika dia berseorangan dan si mati tidak mempunyai cucu lelaki, anak lelaki dan anak perempuan.

b. 2/3 jika bilangan mereka 2 orang atau lebih dan si mati tidak mempunyai cucu lelaki, anak lelaki dan anak perempuan.

c. 1/6 tidak kira bilangan mereka seorang atau lebih, jika si mati ada anak perempuan seorang sahaja dan si mati tidak mempunyai cucu lelaki dan anak lelaki.

عَن ابن مَسْعُود فى بِنْتٍ وَ بِنْتِ ابْنٍ وَ أُخْتٍ (فَقَضَى النَّبِى صلى الله عليه و سلّم لِلابْنةِ النِصْفُ ، وَ لابْنةِ الابْنِ السُدُسُ تَكْمِلَةَ الثُلُثَيْنِ وَ مَا بَقِىَ فَلِلأُخْتِ) رواه البخارى

Daripada Ibnu Mas’ud pada menyatakan hukum anak perempuan, cucu perempuan daripada anak lelaki dan saudari (seibu sebapa atau sebapa) “ Maka telah menghukumkan Rasulullah SAW bagi anak perempuan 1/2 dan bagi cucu perempuan daripada anak lelaki 1/6 mencukupkan 2/3 dan bakinya bagi saudari” (Hadis riwayat Imam Bukhari)

10. Saudara perempuan seibu sebapa akan mendapat :-
a. 1/2 jika dia berseorangan dan si mati tidak mempunyai saudara lelaki seibu sebapa.

“Jika seorang meninggal dunia, dan ia tidak mempunyai anak dan mempunyai saudara perempuan, maka bagi saudaranya yang perempuan itu seperdua dari harta yang ditinggalkannya,” (Surah An-Nisaa’ ayat 176)

b. 2/3 jika bilangan mereka 2 orang atau lebih dan si mati tidak mempunyai saudara lelaki seibu sebapa.

“Tetapi jika saudara perempuan itu dua orang, maka bagi keduanya dua pertiga dari harta yang ditinggalkan.” (Surah An-Nisaa’ ayat 176)

11. Saudara perempuan sebapa akan mendapat :-

a. 1/2 jika dia berseorangan dan tidak mempunyai saudara lelaki sebapa, saudara lelaki seibu sebapa dan saudara perempuan seibu sebapa.

b. 2/3 jika bilangan mereka 2 orang atau lebih dan tidak mempunyai saudara lelaki sebapa, saudara lelaki seibu sebapa dan saudara perempuan seibu sebapa.

c. 1/6 tidak kira bilangan mereka seorang atau lebih, jika si mati ada saudara perempuan seibu sebapa seorang sahaja dan tidak mempunyai saudara lelaki sebapa dan saudara lelaki seibu sebapa.

12. Saudara lelaki seibu akan memperolehi :-

a. 1/6 jika dia berseorangan.

b. 1/3 jika bilangan mereka 2 orang atau lebih sama ada lelaki atau perempuan.

“Dan jika si mati yang diwarisi itu, lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau bapa, dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau saudara perempuan (seibu) maka bagi tiap-tiap seorang dari keduanya ialah satu perenam. Kalau mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu (berkongsi) pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan),” (Surah An-Nisaa’ ayat 12)

13. Saudara perempuan seibu akan mendapat :-

a. 1/6 jika dia berseorangan.

b. 1/3 jika bilangan mereka 2 orang atau lebih sama ada lelaki atau perempuan.

Bahagian yang tidak ditentukan

Bahagian yang tidak ditetapkan ialah pembahagian harta pusaka yang tidak dijelaskan bahagiannya di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.

عَن ابنِ عبّاس قال : قالَ رسولُ اللهِ صَلَّى الله عليهِ و سَلم : (أَلْحِقُوا الفَرائِضَ بِأَهْلِهَا فَمَا بَقِىَ فَهُوَ لأَوْلى رَجُلٍ ذَكَرٍ ) متفق عليه
.
Daripada Ibnu ‘Abbas berkata : Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassallam “ Berikan bahagian warisan yang ditentukan kepada pemiliknya. Adapun sisanya maka bagi pewaris lelaki yang paling dekat nasabnya.”

Hukumnya

1. Mengambil seluruh harta jika tiada ahli fardhu.
2. Mengambil sisa harta setelah ahli fardhu mengambil bahagian masing-masing.
3. Tiada bahagian baginya kerana tiada baki harta setelah diambil oleh ahli fardhu.

Jenis-jenisnya

1. 'Asobah dengan sendiri ( العصبة بالنفس )

Iaitu kaum lelaki yang tiada perantaraan perempuan antara mereka dengan si mati.

عَن ابنِ عبّاس قال : قالَ رسولُ اللهِ صَلَّى الله عليهِ و سَلم : ( أَلْحِقُوا الفَرائِضَ بِأَهْلِهَا فَمَا بَقِىَ فَهُوَ لأَوْلى رَجُلٍ ذَكَرٍ ) متفق عليه.

Daripada Ibnu ‘Abbas berkata : Sabda Rasulullah SAW “ Berikan bahagian warisan yang ditentukan kepada pemiliknya. Adapun sisanya maka bagi pewaris lelaki yang paling dekat nasabnya.”

Ahlinya ialah :

a. Anak lelaki
b. Cucu lelaki hingga ke bawah
c. Saudara lelaki seibu sebapa
d. Saudara lelaki sebapa
e. Anak lelaki saudara lelaki seibu sebapa
f. Anak lelaki saudara lelaki sebapa
g. Bapa saudara seibu sebapa
h. Bapa saudara sebapa
i. Anak bapa saudara seibu sebapa
j. Anak bapa saudara sebapa

TIP mengingatinya ialah mereka daripada golongan lelaki daripada ahli waris kecuali bapa, datuk, suami, saudara seibu.

2. 'Asobah dengan yang lain ( العصبة بالغير )

Iaitu perempuan yang menjadi 'asobah dengan sebab adanya orang lain (pasangan adik beradik lelaki). Pada asalnya mereka merupakan ahli fardhu (1/2, 2/3 atau 1/6).
Ahlinya ialah :

a. Anak lelaki dengan anak perempuan.

"Allah mensyariatkan (mewajibkan) bagimu tentang (pembagian warisan untuk) anak-anakmu. (Iaitu), bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan.” (Surah An-Nisaa’ ayat 11)

b. Cucu lelaki dengan cucu perempuan. Selain daripada cucu lelaki, cicit lelaki daripada cucu lelaki sehingga ke bawah boleh meng’asobahkan cucu perempuan.

c. Saudara lelaki seibu sebapa dengan saudara perempuan seibu sebapa.

“Dan jika mereka (ahli waris itu terdiri dari) saudara laki-laki dan perempuan, maka bahagian seorang saudara lelaki sebanyak bahagian dua orang saudara perempuan.” (Surah An-Nisaa’ ayat 176)

d. Saudara lelaki sebapa dengan saudara perempuan sebapa.

TIP untuk mengingatinya ialah mereka yang terdiri daripada golongan 'asobah dengan sendiri tetapi mempunyai pasangan masing-masing (adik beradik perempuan).

3. 'Asobah bersama yang lain ( العصبة مع الغير )

Iaitu mereka menjadi 'asobah dengan sebab adanya orang lain (anak perempuan atau cucu perempuan bagi anak lelaki). Pada asalnya mereka merupakan ahli fardhu.

قَالَ رَسولُ اللهِ صلى الله عليه و سلّم ( اجْعَلُوا الأِخْوَاتِ مَعَ البَنَاتِ عَصَبَةً )

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassallam “Jadikanlah saudara perempuan (seibu sebapa atau sebapa) bersama dengan anak perempuan, ‘asobah.”

Ahlinya ialah :

a. Anak perempuan bersama saudara perempuan seibu sebapa atau sebapa atau
b. Cucu perempuan bersama saudara perempuan seibu sebapa atau sebapa

Cuma yang menjadi ‘asobah hanyalah saudara perempuan seibu sebapa dan saudara perempuan sebapa. Ada pun bagi anak perempuan dan cucu perempuan, mereka mengambil bahagian secara fardhu.

TIP untuk mengingatinya ialah mereka yang terdiri daripada golongan 'asobah dengan yang lain tetapi pada pihak sesama perempuan sahaja.

Penghalangan

BEZA TERTEGAH DAN TERHALANG

Tertegah dan terhalang mempunyai pengertian yang berbeza dalam ilmu faraidh. Berikut adalah perbezaan antara keduanya :-

1. Tertegah ialah mereka yang ditegah mendapat harta secara mutlak disebabkan oleh salah satu daripada tiga perkara seperti yang telah dijelaskan iaitu membunuh, hamba dan perbezaan agama.

Manakala terhalang pula ialah mereka yang berhak mendapat harta pusaka, tetapi dihalang daripada memperolehinya kerana terdapat ahli waris yang lain. Contohnya saudara seibu sebapa akan dihalang oleh anak lelaki.

2. Ahli waris yang tertegah tidak dapat mempengaruhi ahli waris yang lain. Contohnya anak yang murtad tidak dapat menghalang saudara seibu sebapa daripada mendapat haknya. Anak tersebut akan dianggap seolah-olah tiada.

Adapun ahli waris yang terhalang boleh mempengaruhi ahli waris yang lain. Contohnya seseorang meninggal dunia mempunyai bapa, ibu dan 2 orang saudara lelaki seibu sebapa. Bapa akan menghalang 2 orang saudara lelaki seibu sebapa. Walaupun mereka dihalang namun mereka dapat mempengaruhi bahagian ibu iaitu mengurangkan bahagian ibu daripada 1/3 kepada 1/6 sahaja.

JENIS-JENIS HALANGAN

Terdapat 2 jenis halangan dalam ilmu faraidh iaitu Halangan Wasfi الوصفى dan Halangan Syakhsi (الشخص)

Halangan Wasfi ialah seseorang yang tertegah daripada menerima harta pusaka dengan sifat yang ada pada dirinya iaitu sama ada membunuh, berbeza agama atau hamba. Jenis halangan ini telah dinyatakan dalam tajuk Perkara yang Menegah daripada Mendapat Warisan.

Halangan Syakhsi pula ialah penghalangan yang berlaku kepada ahli waris yang berhak mendapat harta pusaka. Walaupun terdapat 23 orang ahli waris yang berhak mendapat harta pusaka, namun tidak kesemuanya yang akan mendapat harta pusaka.
Ini kerana terdapat ahli waris yang menghalang ahli waris yang lain daripada menerima harta pusaka. Halangan ini terbahagi kepada 2 iaitu :-

1. Halang Kurang ( الحَجْبُ النُقْصَان )

Iaitu bahagian mereka dikurangi dengan sebab terdapat ahli waris yang lain. Perkara ini telah diterangkan pada tajuk Pembahagian yang Ditentukan (Fardhu).
Contohnya bagi suami pada asalnya mendapat 1/2 tetapi menjadi kurang kepada 1/4 kerana isterinya mempunyai anak.

2. Halang Terus ( الحَجْبُ الحِرْمَان )

Iaitu penghalangan secara mutlak terhadap ahli waris daripada memperolehi harta warisan dengan sebab adanya ahli waris yang lain.
Hanya 5 orang sahaja yang tidak akan dihalang terus oleh mana-mana ahli waris iaitu :-
a) Bapa
b) Ibu
c) Anak lelaki
d) Anak perempuan
e) Suami atau isteri

Berikut adalah senarai mereka yang menghalang terus ahli waris yang lain mengikut golongan masing-masing:-

1. Golongan Orang Tua (الأَصْلُ الوَارِِث)

• Bapa akan menghalang :-
o Datuk sebelah bapa hingga ke atas
o Nenek sebelah bapa
o Golongan Pakcik
o Golongan Adik Beradik

• Ibu akan menghalang :-
o Nenek sebelah bapa
o Nenek sebelah ibu hingga ke atas

• Datuk akan menghalang :-
o Golongan Pakcik
o Golongan Adik Beradik kecuali :-
 Saudara lelaki seibu sebapa
 Saudara perempuan seibu sebapa
 Saudara lelaki sebapa
 Saudara perempuan sebapa

2. Golongan Anak Beranak (الفَرْعُ الوَارِث )

• Anak lelaki akan menghalang :-
o Cucu lelaki
o Cucu perempuan
o Golongan Adik Beradik
o Golongan Pakcik

• Anak perempuan atau cucu perempuan akan menghalang
o Saudara lelaki seibu
o Saudara perempuan seibu

• 2 orang anak perempuan akan menghalang:-
o Cucu perempuan (apabila tiada cucu lelaki)

3. Golongan Adik Beradik (الحَوَاشِي)

• Saudara lelaki seibu sebapa akan menghalang :-
o Saudara lelaki sebapa
o Saudara perempuan sebapa
o Anak lelaki saudara lelaki seibu sebapa
o Anak lelaki saudara lelaki sebapa
o Golongan Pakcik

• Saudara lelaki sebapa akan menghalang :-
o Anak lelaki saudara lelaki seibu sebapa
o Anak lelaki saudara lelaki sebapa
o Golongan Pakcik

• Anak lelaki saudara lelaki seibu sebapa akan menghalang :-
o Anak lelaki saudara lelaki sebapa
o Golongan Pakcik

• Anak lelaki saudara lelaki sebapa akan menghalang :-
o Golongan Pakcik

• 2 orang saudara perempuan seibu sebapa akan menghalang :-
o Saudara perempuan sebapa ( apabila saudara lelaki sebapa tiada )

• Saudara perempuan seibu sebapa dalam keadaan 'asobah bersama anak perempuan atau cucu perempuan akan menghalang :-
o Saudara lelaki sebapa
o Saudara perempuan sebapa
o Anak lelaki saudara lelaki seibu sebapa
o Anak lelaki saudara lelaki sebapa
o Golongan Pakcik

• Saudara perempuan sebapa dalam keadaan 'asobah bersama anak perempuan atau cucu perempuan akan menghalang :-
o Anak lelaki saudara lelaki seibu sebapa
o Anak lelaki saudara lelaki sebapa
o Golongan Pakcik

TIP - Secara ringkasnya mana-mana Golongan Adik Beradik yang dalam keadaan 'asobah menghalang Golongan Pakcik

4. Golongan Pakcik (الأَعْمَام)

• Bapa saudara seibu sebapa akan menghalang :-
o Bapa saudara sebapa
o Anak lelaki bapa saudara seibu sebapa
o Anak lelaki bapa saudara sebapa

• Bapa saudara sebapa akan menghalang :-
o Anak lelaki bapa saudara seibu sebapa
o Anak lelaki bapa saudara sebapa

• Anak lelaki bapa saudara seibu sebapa akan menghalang:-
o Anak lelaki bapa saudara sebapa

AHLI KELUARGA YANG TIDAK MENDAPAT BAHAGIAN 
( ذَوِى الأرْحَام )

Mereka adalah ahli kerabat dengan si mati, namun tidak dinyatakan pembahagian mereka oleh Syariat Islam.

HUKUMNYA

Mengikut mazhab ahli qarabah, dzawil arham akan mengambil seluruh harta pusaka secara 'asobah dengan syarat :-

1. Tiada ahli waris daripada Golongan Nasab. Jika golongan tersebut ada, dzawil arham akan terhalang.

عن المقدام قال : قَالَ رَسولُ اللهِ صلى الله عليه و سلّم (الخَالُ وَارِثٌ مَنْ لا وَارِثَ لَهُ )

Daripada Miqdam berkata : Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassallam bersabda “Bapa saudara (sebelah ibu) menjadi waris bagi sesiapa yang tidak mempunyai ahli waris”

2. Tiada suami atau isteri bagi si mati. Jika ada salah seorang daripada mereka, dzawil arham akan mengambil baki iaitu 1/2 jika ada suami atau 3/4 jika ada isteri.

AHLINYA

Ia dibahagikan kepada 4 golongan:-

1. Golongan Orang Tua
a) Datuk bagi ibu hingga ke atas

2. Golongan Anak Beranak
a) Cucu lelaki bagi anak perempuan
b) Cucu perempuan bagi anak perempuan

3. Golongan Adik Beradik
a) Anak perempuan bagi saudara lelaki seibu sebapa
b) Anak perempuan bagi saudara lelaki sebapa
c) Anak lelaki dan perempuan bagi saudara perempuan seibu sebapa
d) Anak lelaki dan perempuan bagi saudara perempuan sebapa
e) Anak lelaki dan perempuan bagi saudara lelaki seibu
f) Anak lelaki dan perempuan bagi saudara perempuan seibu

4. Golongan Pakcik Makcik
a) Ibu saudara seibu sebapa sebelah bapa
b) Ibu saudara sebapa sebelah bapa
c) Bapa saudara seibu sebelah bapa
d) Ibu saudara seibu sebelah bapa
e) Anak perempuan bapa saudara seibu sebapa sebelah bapa
f) Anak perempuan bapa saudara sebapa sebelah bapa
g) Anak lelaki dan perempuan bagi ibu saudara seibu sebapa sebelah bapa
h) Anak lelaki dan perempuan bagi ibu saudara sebapa sebelah bapa
i) Anak lelaki dan perempuan bagi bapa saudara seibu sebelah bapa
j) Anak lelaki dan perempuan bagi ibu saudara seibu sebelah bapa
k) Bapa saudara seibu sebapa sebelah ibu
l) Ibu saudara seibu sebapa sebelah ibu
m) Bapa saudara sebapa sebelah ibu
n) Ibu saudara sebapa sebelah ibu
o) Bapa saudara seibu sebelah ibu
p) Ibu saudara seibu sebelah ibu
q) Anak lelaki dan perempuan bagi bapa saudara seibu sebapa sebelah ibu
r) Anak lelaki dan perempuan bagi ibu saudara seibu sebapa sebelah ibu
s) Anak lelaki dan perempuan bagi bapa saudara sebapa sebelah ibu
t) Anak lelaki dan perempuan bagi ibu saudara sebapa sebelah ibu
u) Anak lelaki dan perempuan bagi bapa saudara seibu sebelah ibu
v) Anak lelaki dan perempuan bagi ibu saudara seibu sebelah ibu

HALANGAN

Hanya satu golongan sahaja yang mendapat harta. Golongan yang lebih kuat nasabnya akan menghalang golongan yang lemah. Berikut adalah turutan golongan yang lebih kuat hingga golongan yang paling lemah :-

1. Golongan Anak Beranak
2. Golongan Orang Tua
3. Golongan Adik Beradik
4. Golongan Pakcik Makcik

KEADAANNYA

Iaitu terbahagi kepada 3:

1. Jika bersendirian, dia akan mengambil semua harta.

2. Jika mereka berbilang lebih daripada 2 lelaki sahaja atau perempuan sahaja, mereka akan mendapat harta dengan dibahagikan sama rata.

3. Jika mereka bercampur antara lelaki dan perempuan, digunakan kaedah nisbah seorang lelaki bersamaan 2 orang perempuan.